Thursday, July 19, 2007

Celik Emosi, Celik Minda, Celik Hati

Kecelikan emosi selalunya dipedoman dengan ilmu. Sandaran ilmu tidak hanya kepada akal tetapi merujuk kepada naql. Darinya seorang itu mendapat hikmah. Hikmahlah yang menjadi suluh kepada akal dan emosi. Hasil pemikiran, dapatan dan pengalaman tanpa disuluh oleh hikmah ianya tidak memberi makna yang hakiki. Makna yang hakiki menjadikan emosi celik. Kecelikan emosi yang menyebabkan berlakunya perimbangan antara akal dan emosi dan membantu tindakan ke arah yang lebih bijaksana. Bagaimana seseorang itu boleh dikatakan celik emosi? Celik mindanya ? dan celik hatinya?

Persoalan itu telah dibincangkan dengan luas melalui Seminar Celik Emosi anjuran bersama Biro Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM Negeri Sabah, Pergerakan Puteri Islam Malaysia Negeri Sabah, Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Sabah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah .

Seminar sehari yang diadakan pada 30 Jun 2006 itu telah dilaksanakan di Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu. Seminar itu telah dimulakan dengan ucap utama oleh tokoh pendidikan terkenal iaitu Profesor Dr. Sidek Baba daripada Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa. Beliau menekankan betapa pentingnya ibu bapa mempamerkan model emosi sihat kepada anak-anak kerana anak akan menjadikan ibu bapa sebagai contoh terawal dalam proses tumbesaran mereka. Sekiranya sumber itu tidak ada disekitar anak-anak terutama dalam period aktif mereka untuk bertatih dan belajar, jiwanya akan kosong kerana belaian yang fitrah tidak berlaku. Akhirnya jiwa anak-anak menjadi kosong dan mungkin diisi dengan sumber-sumber di luar dari ibu dan bapa dan menyebabkan penyuburan emosi terganggu dan pembentukan watak menjadi negatif.

Bagi mengenalpasti dan memahami perkembangan emosi kanak-kanak samada ibu bapa betul-betul mengenali anaknya, Prof. Madya Dr. Mastura Badzis iaitu Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara telah menarik minat para peserta dengan memberikan tips-tips penting yang dianjurkan oleh Islam dalam menangani anak-anak secara berhikmah.

Seminar yang dihadiri seramai 500 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini juga secara langsung boleh bersoal jawab tentang mengenali gangguan emosi kanak- kanak dan remaja dengan pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, iaitu Dr. Fauzi Ismail daripada Hospital Selayang Selangor.

Apa yang menariknya, separuh daripada peserta seminar ini dihadiri oleh kaum lelaki, suami atau bapa yang merupakan tunggak kecemerlangan sebuah keluarga. Kenyataan ini telah dipersetujui oleh semua pembentang kertas kerja kerana program sebegini selalunya hanya disertai oleh kaum wanita. Penglibatan suami dan isteri dalam program sebegini amatlah digalakkan kerana ibu dan bapa merupakan ikon pertama anak –anak dalam memastikan celik emosi, celik minda dan akhirnya celik hatinya. Usaha membina modal insan yang cemerlang gemilang dan terbilang akan lebih mudah dan berjaya. [HOME]