Tuesday, July 22, 2008

Tahniah!

Tahniah!

Exco Perhubungan ABIM Sabah, Sdr. Mustapha Sakmud telah dipilih sebagai Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) bagi sesi 2008/2010 dalam Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan MBS kali ke-12 pada 29 Jun 2008di Palace Hotel, Kota Kinabalu. Selain Sdr. Mustapha, wakil ABIM Sabah yang turut berada dalam kepimpinan MBS yang baru adalah Sdr. Abdul Ramlie Ibrahim yang telah dilantik sebagai Setiausaha Agung MBS dan Sdr. Afwan Ahmed yang berjaya dipilih sebagai Exco MBS.

Wednesday, July 16, 2008

Penubuhan Majlis Gabungan NGO Islam (CONCERN)

Penubuhan Majlis Gabungan NGO Islam (CONCERN)

Majlis Gabungan NGO Islam telah membentuk Jawatankuasa Penaja bagi sesi 2008/2010 pada 12 Jun 2008 di Masjid Negeri Sabah yang terdiri daripada Pengerusi, Hj. Sainuri Yahmin (WADAH), Timbalan Pengerusi, Hj. Khairan Untoh  (Yayasan Amal Malaysia), Setiausaha, Yang Dipertua ABIM Sabah, Sdr. Muddin Beting, Penolong Setiausaha, Sdr. Marsus Jabar (JIM) dan Bendahari, Hj. Adnan Puteh (Persatuan Peguam Muslim Sabah). 

Majlis Gabungan NGO Islam dianggotai oleh 15 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Yayasan Amal, Jamaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Peguam Muslim Sabah (PPMS), Sahabat Teratak Fitrah (SAHABAT), Persatuan Siswazah Sabah (PSS), Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Persatuan Sama Sabah, Persatuan Kebajikan Bugis Sabah (PKBS), Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Leluhur Melayu Bugis Sabah (KECAPI), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia.  

Gabungan NGOs Islam Sabah telah dibentuk pada Julai 2006 berikutan isu-isu semasa umat Islam terutama isu yang berkaitan kes murtad. Sejak 2006, Gabungan ini dipengerusikan oleh Sdr. Muddin Beting, Yang Dipertua ABIM Sabah sehinggalah penubuhan Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN).

Wednesday, July 25, 2007

Sambutan 25 Tahun ABIM Sabah

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Negeri Sabah dengan penuh kesadaran dan keinsafan menyambut ulang tahun penubuhan kali ke 25 di bumi Sabah tanah bertuah. Majlis Pelancaran Sambutan 25 Tahun ABIM Sabah telah diadakan pada 24 Februari 2007 bersamaan 6 Safar 1428H. Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh YB. Datuk Masidi Manjun, Menteri Belia dan Sukan Sabah.

Mesej ABIM Sabah sejajar dengan mesej pengutusan Adam a.s iaitu membawa satu revolusi besar kepada dimensi konsep Makhluk - khaliq. Iaitu Makhluk yang ditaklifkan dengan tanggungjawab bukan setakat sebagai hamba yang beriman, pada masa yang sama memakmurkan alam sejagat (kekhalifahan). Bertitik tolak dari pengutusan Adam a.s ini, baginda mempunyai sejumlah kredibiliti kualiti yang tidak mampu ditandingi oleh makhluk lain termasuklah para malaikat dan iblis. Kredibiliti ini pada hakikatnya turut diwarisi oleh semua anak, cucu-cicit Adam a.s. Iaitu adanya infrastruktur dan kefungsiaan Aqal selain Nafsu, Jasad dan Roh. Aqal inilah yang menjadikan sumber daya maju kaum insane. Aqal jugalah yang menentukan kualiti kaum insane. Aqal jugalah yang amat diperlukan dalam melaksanakan tanggungjawab kekhalifahan. Aqal jugalah yang menjaga dan mengawal tingkah-laku sadar hamba dalam dimensi mengabdikan diri kepada khaliqnya.

Selama tempoh berkenaan di persada dakwah, ABIM mempunyai pengalaman tersendiri. Mengiktiraf pencapaian dan menerima kekurangan merupakan satu kesedaran yang amat diperlukan untuk melangkah lebih jauh dan lebih berkesan. Sambutan 25 tahun ABIM Sabah adalah bersandarkan rasa syukur dan tawaddhu untuk menoleh galasan dakwah serta tanggungjawab dan pada masa yang sama merobos masa depan Tamaddun Khyra Ummah yang masih jauh.

Sambutan 25 tahun ABIM Sabah ini mempunyai matlamat untuk meneruskan dan memperkukuhkan kehadiran ABIM Sabah dalam gerak kerja Belia, Dakwah dan Tarbiyyah, agar lebih menyeluruh dan bersepadu. Usaha demikian akan dilaksanakan melalui jalinan kerjasama dengan semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, NGOs mahupun orang perseorangan demi untuk mengangkat martabat umat Islam melalui tema “Mendidik Akal Budi”.

Fokus ABIM Sabah Sempena 25 tahun adalah;

  1. Memantapkan ahli dengan pembudayaan ilmu dan pandangan alam Islam yang benar melalui skima tarbiyyah yang konsisten dan sistematik।
  2. Memantapkan keberkesanan pengurusan organisasi dan memperkukuhkan jaringan.
  3. Memperkukuhkan kehadiran ABIM di Sabah melalui penubuhan cawangan-cawangan daerah yang baru
  4. Memperkasa pembinaan budaya ilmu dalam kalangan ahli dan masyarakat melalui program keilmuan.
  5. Memperkukuh kaderisasi melalui pemantapan gerak kerja SISMA dengan menggunakan pendekataan kebijaksanaan da’wah dan tarbiyyah.
  6. Memperkasakan gerak kerja komuniti yang berkesan melalui pendekatan kebijaksanaan da’wah dan tarbiyyah.
  7. Memantapkan program pembangunan wanita, keluarga, pendidikan rendah dan pra sekolah.
ABIM berada dalam dua dimensi tugas dan tanggungjawab. Iaitu pertubuhan da’wah yang mengekalkan pendekatan dinamik yang ditunjangi dengan pendekatan da’wah dan tarbiyah. Pada masa yang sama perlu mengekalkan reputasi optimum sebagai badan belia yang memimpin zamannya.

Thursday, July 19, 2007

Celik Emosi, Celik Minda, Celik Hati

Kecelikan emosi selalunya dipedoman dengan ilmu. Sandaran ilmu tidak hanya kepada akal tetapi merujuk kepada naql. Darinya seorang itu mendapat hikmah. Hikmahlah yang menjadi suluh kepada akal dan emosi. Hasil pemikiran, dapatan dan pengalaman tanpa disuluh oleh hikmah ianya tidak memberi makna yang hakiki. Makna yang hakiki menjadikan emosi celik. Kecelikan emosi yang menyebabkan berlakunya perimbangan antara akal dan emosi dan membantu tindakan ke arah yang lebih bijaksana. Bagaimana seseorang itu boleh dikatakan celik emosi? Celik mindanya ? dan celik hatinya?

Persoalan itu telah dibincangkan dengan luas melalui Seminar Celik Emosi anjuran bersama Biro Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM Negeri Sabah, Pergerakan Puteri Islam Malaysia Negeri Sabah, Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Sabah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah .

Seminar sehari yang diadakan pada 30 Jun 2006 itu telah dilaksanakan di Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu. Seminar itu telah dimulakan dengan ucap utama oleh tokoh pendidikan terkenal iaitu Profesor Dr. Sidek Baba daripada Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa. Beliau menekankan betapa pentingnya ibu bapa mempamerkan model emosi sihat kepada anak-anak kerana anak akan menjadikan ibu bapa sebagai contoh terawal dalam proses tumbesaran mereka. Sekiranya sumber itu tidak ada disekitar anak-anak terutama dalam period aktif mereka untuk bertatih dan belajar, jiwanya akan kosong kerana belaian yang fitrah tidak berlaku. Akhirnya jiwa anak-anak menjadi kosong dan mungkin diisi dengan sumber-sumber di luar dari ibu dan bapa dan menyebabkan penyuburan emosi terganggu dan pembentukan watak menjadi negatif.

Bagi mengenalpasti dan memahami perkembangan emosi kanak-kanak samada ibu bapa betul-betul mengenali anaknya, Prof. Madya Dr. Mastura Badzis iaitu Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara telah menarik minat para peserta dengan memberikan tips-tips penting yang dianjurkan oleh Islam dalam menangani anak-anak secara berhikmah.

Seminar yang dihadiri seramai 500 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini juga secara langsung boleh bersoal jawab tentang mengenali gangguan emosi kanak- kanak dan remaja dengan pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, iaitu Dr. Fauzi Ismail daripada Hospital Selayang Selangor.

Apa yang menariknya, separuh daripada peserta seminar ini dihadiri oleh kaum lelaki, suami atau bapa yang merupakan tunggak kecemerlangan sebuah keluarga. Kenyataan ini telah dipersetujui oleh semua pembentang kertas kerja kerana program sebegini selalunya hanya disertai oleh kaum wanita. Penglibatan suami dan isteri dalam program sebegini amatlah digalakkan kerana ibu dan bapa merupakan ikon pertama anak –anak dalam memastikan celik emosi, celik minda dan akhirnya celik hatinya. Usaha membina modal insan yang cemerlang gemilang dan terbilang akan lebih mudah dan berjaya. [HOME]